Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Star City FC, Mehmet Durakovic menyifatkan pasukannya tidak patut pulang dengan tangan kosong dalam aksi Liga Super berdepan Selangor FC (SFC), malam tadi.

Berdasarkan persembahan ditampilkan sepanjang permainan, pengendali berusia 61 tahun itu menganggap mereka layak untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Namun, kegagalan melakukan penyudah lebih berkesan di hadapan gawang menyaksikan Star City terpaksa akur tewas 0-1 menerusi jaringan Hugo Boumous pada minit ketujuh perlawanan.

Bagaimanapun, Durakovic tetap bangga dengan komitmen yang diberikan barisan pemainnya sepanjang perlawanan meskipun sedar kualiti dimiliki pasukan SFC.