RIYADH: Arab Saudi tidak seharusnya mengharapkan rundingan politik dengan kumpulan militia Houthi di Yaman mampu menghasilkan penyelesaian kerana usaha dialog sebelum ini gagal mengubah tindakan kumpulan itu, menurut Pengerusi Pusat Penyelidikan Teluk, Dr. Abdulaziz Sager.

Ketika muncul dalam program Arab Views terbitan Arab News di Riyadh, Sager berkata, dua serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid pada 10 dan 11 Oktober memberi isyarat jelas bahawa rundingan lanjut berkemungkinan tidak akan membuahkan hasil.

Tawaran Iran untuk menjadi orang tengah antara Arab Saudi dan Houthi dilihat luar biasa. tetapi Sager berkata, Arab Saudi tidak sepatutnya menerima tawaran daripada negara yang dianggapnya bertanggungjawab mengekalkan ancaman berkenaan.