ALOR SETAR: Peningkatan persefahaman yang semakin kukuh dalam kalangan pemain Star City FC (SCFC) menjadi bekalan terbaik skuad The Northern Stars untuk turun menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada aksi Liga Super malam esok.
Ini asas yang sedang dan akan diperkuatkan dalam kalangan pemain skuad kendalian Mehmet Durakovic bagi menghadapi tekanan hebat di tempat lawan dalam misi seterusnya untuk memastikan impian tiga mata tercapai.
Ketua Pegawai Eksekutif SCFC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan berkata, dua kemenangan yang dicapai sebelum ini ketika bertemu Kelantan Red Warrior (KRW) pada 16 Oktober dan Selangor FC dalam saingan Piala FA (11 Oktober) lalu semestinya menjadi pembakar semangat untuk meneruskan momentum kemenangan seterusnya.









