MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menafikan sebarang pembabitan berhubung isu penggantungan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), sebaliknya menegaskan kemelut itu berpunca daripada konflik dalaman gabungan pembangkang berkenaan semata-mata.

Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim, berkata PH tidak terbabit dalam perkara itu dan menolak dakwaan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau, bahawa penggantungan berkenaan bermotifkan politik.

"Perkara ini tiada kaitan dengan kami. Ia bukan strategi kami dan kami langsung tidak terbabit.

"Itu adalah konflik dalaman mereka," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH Melaka, di sini, hari ini.