Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) mendakwa sebanyak 21 syarikat yang mempunyai kaitan dan gabungan dengan kumpulan perniagaan dari Malaysia terbabit dalam kes kebakaran hutan dan tanah di Indonesia bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Dapatan itu adalah sebahagian daripada laporan analisis pemetaan bertajuk `Who Are Behind the Fires?' yang dikeluarkan oleh Eksekutif Nasional WALHI.

Menurut laporan berkenaan, data satelit mencatatkan sekurang-kurangnya 30,927 titik panas di seluruh Indonesia sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, di mana hampir 50 peratus daripada jumlah itu berada di dalam kawasan konsesi operasi syarikat perladangan kelapa sawit dan perhutanan.