KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menilai semula mekanisme subsidi bahan api dan memperkukuh bantuan bersasar sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat, termasuk kemungkinan harga minyak Brent mencecah AS$150 setong.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kemungkinan harga minyak mentah menembusi semula paras tertinggi itu tidak boleh diketepikan berikutan pergerakan pasaran yang tidak menentu.
Beliau berkata, harga minyak mentah didagangkan dalam pasaran spot atau tunai serta pasaran derivatif seperti pasaran hadapan, yang boleh dipengaruhi sentimen pasaran dan kebimbangan terhadap bekalan.
"Sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana harga minyak mentah ini banyak didagangkan dalam pasaran kewangan. Pasaran ini boleh bergerak secara meruap dan dipengaruhi sentimen pasaran seperti kebimbangan terhadap bekalan bahan api akibat serangan di kawasan pengeluaran minyak mentah," katanya.









