KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun 5 sen seliter manakala harga runcit diesel tanpa subsidi turun 10 sen seliter bagi tempoh 15 hingga 21 Oktober ini.Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga baharu RON 97 tanpa subsidi ditetapkan pada RM5.10 seliter manakala RON95 tanpa subsidi RM4.62, dan diesel tanpa subsidi RM5.17 seliter.Kenyataan itu memaklumkan walaupun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong, bekalan produk petroleum bertapis di pasaran serantau mula menunjukkan tanda pemulihan.Menurut MOF, China telah membenarkan semula eksport bahan api bagi Oktober manakala Korea Selatan terus membekalkan produk petroleum bertapis ke pasaran serantau, sekali gus membantu meredakan tekanan terhadap bekalan."Namun, konflik di Asia Barat yang semakin meluas termasuk serangan di Arab Saudi pada minggu lepas, meningkatkan risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga petroleum. Ketidaktentuan harga dijangka berterusan dalam jangka sederhana."Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini. Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, kerajaan dijangka membelanjakan RM40 bilion bagi subsidi bahan api pada tahun hadapan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi serta menjamin kelangsungan mata pencarian rakyat," menurut kenyataan itu.Dalam pada itu, MOF memaklumkan penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.62 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi RM2.63 seliter atau 57 peratus daripada harga tanpa subsidi.Selain itu, penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.17 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.07 seliter atau 59 peratus daripada harga tanpa subsidi."Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat."Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi," menurut kenyataan itu.Kementerian itu turut memaklumkan kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemat bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin. - Bernama