HOFFENHEIM: Bintang Hoffenheim, Alexander Prass serta-merta menyesali tindakannya meraikan gol ketika menentang Bayer Leverkusen dan kini berdepan penggantungan satu perlawanan.

Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-89 untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-0 ke atas juara Bundesliga musim 2023/24 berkenaan.

Beliau berlari keriangan sambil menanggalkan jersinya untuk meraikan jaringan terbabit namun kegembiraannya tidak kekal lama apabila menyedari beliau sudah pun dilayangkan kad kuning sebelum itu.

Mengikut undang-undang Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), pemain akan diberikan amaran kad kuning sekiranya menanggalkan jersi semasa perlawanan.