Mengambil keputusan untuk berhijab pada Julai lalu, isteri kepada penyanyi, Cat Farish iaitu Shikin Maembong tampil berhijab sepenuhnya bermula selepas menghadiri konsert Soul City-An R&B Night, baru-baru ini.
Shikin atau nama sebenarnya Siti Nur 'Ashikin Ismail, 42, menyifatkan dia berasa kurang selesa atau rasa tidak lengkap dengan penampilan dirinya ketika menghadiri konsert berkenaan walaupun baru sahaja selesai merapikan rambut.
"Sejujurnya, ia bermula selepas konsert Soul City. Walaupun baru buat rambut, tiba-tiba saya rasa macam ada sesuatu yang kurang. Saya tertanya-tanya kenapa aura saya rasa kurang dan kenapa saya rasa tak cantik.
"Sebelum itu, saya memang suka menonton video orang berhijab serta melihat gaya fesyen mereka. Saya selalu terfikir cantiknya mereka apabila mengenakan gaya tudung sedemikian," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.






