Kuala Lumpur: Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pembangunan Halal Malaysia (SPHM) termasuk keperluan menggubal akta khusus bagi memperkukuh tadbir urus dan penguatkuasaan halal negara sedang diperincikan oleh Pejabat Penyelaras Halal Malaysia bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu masih di peringkat awal dan memerlukan penelitian serta sesi libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Menurutnya, sudah tiba masanya kerangka perundangan halal negara diperkukuh secara lebih menyeluruh, bukan sahaja merangkumi pensijilan, pemantauan dan penguatkuasaan, malah pembangunan industri serta bakat dalam bidang berkenaan.








