KUALA LIPIS - Kerajaan Pahang akan meluluskan bantuan 10,000 topi keledar berkualiti untuk anak muda di negeri berkenaan dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu antara perkara yang diminta golongan berkenaan menerusi maklum balas yang diterima pihaknya."Kita dapati anak-anak muda meminta supaya kerajaan menyediakan topi keledar dan mereka minta yang berkualiti. Insya-ALLAH permohonan mereka itu diterjemahkan."Saya telah berbincang dan kita akan meluluskan sebanyak 10,000 topi keledar untuk anak-anak muda ini yang berkualiti. Itu dah muktamad dan kita telah putuskan," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan penonton mengenai bantuan untuk golongan muda dalam Belanjawan Pahang 2027 pada Program Town Hall Rakyat (THR) Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, pada Isnin.Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut bersetuju menambah peruntukan bantuan kepada koperasi daripada RM600,000 kepada RM1 juta bagi tahun depan."Koperasi baru-baru ini ada mohon dan kita sudah bagi RM600,000. Tahun depan minta ditambahkan dan saya bersetuju untuk tambah daripada RM600,000 kepada RM1 juta. Banyak lagi yang akan diumumkan," katanya.Sementara itu, beliau berkata, Belanjawan Pahang 2027 yang dijangka dibentangkan pada akhir November atau awal Disember depan akan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama.Katanya, keutamaan itu merangkumi kepentingan dan kebajikan rakyat, pembangunan ekonomi serta masa depan negeri.Jelasnya, belanjawan itu akan mengangkat tema 'Pahang First, Rakyat Diutamakan, Kemakmuran Dipertahakan'.