Melaka: Kerajaan MADANI memilih untuk menanggung beban subsidi bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, termasuk mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter meskipun harga minyak mentah dunia meningkat melebihi 100 dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus bakal melonjakkan subsidi bahan api mencecah RM45 bilion setahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu mencerminkan pendekatan kerajaan yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat berteraskan nilai kemanusiaan.

Beliau berkata, ketika mengumumkan belanjawan tahun lalu, harga minyak mentah dunia berada pada paras 70 dolar AS setong.

Ia kini melonjak kepada antara 120 dolar AS hingga 130 dolar AS setong, sekali gus meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi mengekalkan harga bahan api itu.