MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menolak politik kebencian dan adu domba sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memastikan persaingan berlangsung secara aman tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata gabungan itu menggariskan tiga mesej utama sepanjang tempoh kempen iaitu menghormati perbezaan pandangan dalam demokrasi, memastikan persaingan tidak dicemari fitnah dan serangan peribadi serta menawarkan penyelesaian menerusi manifesto.
"Garis merah kami adalah menolak sama sekali politik kebencian, politik adu domba, politik yang berteraskan bahawa untuk membela kaum kami, kami harus menindas kaum lain," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH Melaka, di sini hari ini.








