Siswi Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit berkata dia tidak merancang menyertai politik buat masa ini, sebaliknya mahu membina kerjaya dalam sektor korporat selepas menamatkan pengajian.

Dia menolak dakwaan warganet bahawa soalannya yang tular selepas diajukan dalam sebuah majlis dialog sekadar batu loncatan untuk menyertai parti politik, khususnya Pakatan Harapan (PH).

Bercakap melalui podcast terbaru KiniTV, “Explain Sikit”, yang dikendalikan editor kanan Malaysiakini, Yiswaree Palansamy (gambar bawah), Ummi berkata dia mahu bekerja dalam bidang dasar awam selepas memperoleh ijazah ekonomi.

“Rancangan saya selepas ini adalah menyertai sektor korporat. Dasar awam. Saya tak suka perhatian yang saya terima sekarang,” katanya.