Kota Kinabalu: Kenduri Rakyat pasangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan selebriti, Bella Astillah di Padang Merdeka di sini, menarik perhatian ramai dengan kehadiran pengunjung dianggarkan mencecah kira-kira 10,000 orang.

Belum pun kaunter pendaftaran dibuka pada jam 9 pagi, orang ramai sudah mula berbaris seawal jam 5 pagi bagi menghadiri majlis resepsi pasangan popular itu.

Pelbagai gerai makanan turut disediakan secara percuma bagi pengunjung sebelum ketibaan pasangan pengantin yang melangsungkan persandingan di pelamin utama pada jam 12.30 tengah hari.

Syed Saddiq berkata, walaupun cuaca ketika sesi raptai penuh hujan lebat dan ribut petir, keadaan berkenaan bukan halangan buat dirinya dan Bella untuk bersama-sama meraikan hari bahagia mereka bersama rakyat Sabah.