Gopeng: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yakin larangan menggunakan aplikasi navigasi Waze serta merta dalam kalangan penjawat awam akan dipatuhi sepenuhnya.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, buat masa ini peratusan kadar pematuhan larangan yang dibuat atas faktor keselamatan itu belum diperoleh memandangkan arahan itu baharu diumumkan minggu lalu.

"Kita sedia maklum bahawa larangan itu atas dasar keselamatan di mana kita belajar daripada apa yang berlaku kepada negara-negara lain yang turut menggunakan aplikasi berkenaan.

"Dari segi tahap pematuhan saya percaya penjawat awam faham apa yang dihasratkan oleh kerajaan. Saya penuh yakin bahawa penjawat awam akan mematuhi apa yang digariskan oleh kerajaan," katanya.