KUALA LUMPUR: Pengurusan tertinggi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) perlu bertanggungjawab sekiranya didapati menyampaikan maklumat tidak tepat berhubung fungsi aplikasi navigasi TuJu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata sebarang maklumat yang disampaikan wakil LLM dalam mesyuarat berkaitan isu berkenaan perlu dipertanggungjawab oleh pihak organisasi terbabit.
"TuJu ialah aplikasi di bawah jagaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan juga Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).
"Sekiranya ada apa-apa maklumat yang wakil mereka sampaikan ketika mesyuarat, mereka perlu bertanggungjawab atas maklumat yang disampaikan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Saringan Kesihatan Wartawan Yayasan CVSKL, di sini, hari ini.








