Petaling Jaya: Syarikat media yang berdepan masalah kewangan diminta memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Komunikasi lebih awal supaya usaha membantu dapat dilakukan.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau bersedia bertemu dengan pengurusan tertinggi syarikat media terbabit bagi membincangkan masalah yang dihadapi.
"Ini satu keadaan yang agak memilukan dan saya akan menjemput sidang redaksi serta pasukan syarikat terbabit, terutama pengurusan tertinggi, untuk duduk berbincang.
"Saya ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mana-mana syarikat media yang berdepan masalah ini, datang jumpa saya. Kita akan teliti penyelesaiannya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Saringan Kesihatan Wartawan Yayasan CVSKL di sini.






