KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) terus melakar kejayaan dengan meraih Anugerah Platinum menerusi inisiatif Proses Pengurusan Pasport Jemaah Haji Malaysia sempena Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan TH melaksanakan transformasi penyampaian perkhidmatan yang lebih mudah, ringkas dan lancar kepada bakal haji menerusi penambahbaikan proses pengurusan pasport.

TH turut menyasarkan penghapusan tempoh pegangan pasport oleh TH sebelum jemaah berangkat ke Tanah Suci Makkah bermula musim haji 1448H/2027M.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata inisiatif terbabit memberikan lebih fleksibiliti kepada bakal haji untuk menguruskan keperluan peribadi dan pekerjaan sepanjang tempoh persediaan haji tanpa perlu memohon pemulangan sementara pasport daripada TH.