Kuala Lumpur: Kejayaan skuad Bawah 15 Tahun (B-15) Harimau Malaya muncul pasukan terbaik ASEAN pada Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Baku, Azerbaijan membuktikan Malaysia memiliki kelompok pemain muda yang mampu mencabar dominasi negara serantau.
Lebih membanggakan, skuad kendalian P Maniam itu menjadi satu-satunya wakil ASEAN yang berjaya menempatkan diri dalam Tier B, sekali gus mengatasi pencapaian Indonesia, Thailand dan Vietnam yang terpaksa beraksi dalam Tier C.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan pencapaian itu bukan sekadar kejayaan di peringkat remaja, sebaliknya petunjuk positif terhadap masa depan bola sepak negara.
Menurut FAM, kejayaan berkenaan membuktikan Malaysia mempunyai potensi untuk merapatkan jurang persaingan dengan negara bola sepak lebih maju menerusi perancangan pembangunan teratur, pendedahan antarabangsa dan komitmen berterusan semua pihak.









