PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi produk kosmetik Beauty Love Skin Essentials Rejuvenating Facial Toner selepas dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.
KKM dalam kenyataan, hari ini memaklumkan produk berkenaan didapati mengandungi tretinoin dan hidrokuinon, justeru notifikasi kosmetik berkenaan dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi KKM.
Produk yang mengandungi bahan itu diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan.
"Ubat yang mengandungi tretinoin dan hidrokuinon hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan," menurut kenyataan itu.









