MELAKA: UMNO dan PAS perlu mengelakkan perbalahan serta mengetepikan perbezaan bagi memastikan kekuatan kerjasama kedua-dua parti terus dipertahankan.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata ini kerana perpecahan hanya akan menyebabkan kekuatan politik mereka semakin lemah, sekali gus mengingatkan pimpinan kedua-dua parti supaya mengambil iktibar daripada peringatan al-Quran mengenai bahaya perselisihan.
"Dua saja, berbalah atau kalah, jadi nak yang mana?" katanya ketika berucap sebelum mengiringi calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin ke Pusat Penamaan Calon DUN Sungai Udang, di sini, hari ini.
Idris berkata, kerjasama UMNO dan PAS penting bagi memastikan kekuatan politik Melayu Islam terus menjadi tonggak dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.










