BUKIT MERTAJAM : Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh masih belum memutuskan sama ada mahu memfailkan rayuan atau tidak terhadap keputusan mahkamah yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi serta kos keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selepas kalah dalam saman fitnah sebelum ini.

Menurut Muhamad Akmal, ketika ini, beliau masih berbincang dengan barisan peguamnya mengenai kemungkinan tersebut.

“Insya-Allah, dalam sehari dua ini nanti kita akan beri keputusan mengenai sama ada nak buat rayuan atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu hadir ke Mahkamah Majistret di sini untuk mendengar keputusan representasi bagi menggugurkan pertuduhan terhadapnya selepas didakwa mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan kegusaran awam susulan isu Jalur Gemilang, tahun lepas.