PETALING JAYA: Kerajaan diminta menyegerakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan mahkamah mengarahkan pembayaran pampasan kepada mangsa atau waris bagi kes kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

Desakan itu dibuat menerusi kenyataan bersama 13 pemimpin dan ahli akar umbi DAP susulan kematian seorang pekerja kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilanggar sebuah kenderaan di Lebuhraya Sultan Iskandar pada 24 Oktober lalu, dipercayai dipandu individu di bawah pengaruh alkohol.

Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam, Nor Miswary Ramli bersama 12 pemimpin dan ahli akar umbi parti itu turut meminta supaya pindaan berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat seawal sidang pertama Parlimen pada 2027.