GERIK: Suami isteri maut, manakala anak lelaki mereka cedera parah selepas kereta dinaiki keluarga itu bertembung dengan sebuah bas persiaran di Lebuh Raya Timur-Barat, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Banjaran (R&R) Titiwangsa menghala ke Gerik, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari, suami isteri yang meninggal dunia ialah lelaki warga emas berusia 64 tahun dan isterinya, 58 tahun, manakala anak lelaki mereka berusia 28 tahun cedera parah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan BBP Jeli dikejarkan ke tempat kejadian.