GERIK – Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka parah selepas kereta dinaiki keluarga itu terbabit kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Abd. Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sara Abd. Rahman, 58, manakala anak lelaki mereka, Mohamad Syazwan Hakimi, 28, mengalami kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd. Rais Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 petang.
Katanya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah bas persiaran membawa 30 penumpang dan kereta jenis Perodua Alza dinaiki tiga beranak.










