Los Angeles : Selepas dua dekad menanti, kumpulan rock alternatif, My Chemical Romance (MCR) akhirnya mencipta sejarah apabila album ikonik mereka, The Black Parade, menduduki tangga pertama carta Billboard 200 buat kali pertama.
Pencapaian itu menyaksikan album berkenaan melonjak daripada kedudukan ke-139 ke puncak carta selepas diterbitkan semula dalam edisi mewah, dengan kutipan 78,000 unit album setara.
Menurut laporan Variety, album yang dilancarkan pada 23 Oktober 2006 itu sebelum ini pernah menduduki tangga kedua Billboard 200, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi kumpulan berkenaan sehingga kejayaan terbaharu.
Lebih menarik, MCR mencatat tempoh penantian paling lama bagi sesebuah album untuk kembali menduduki tangga pertama carta berkenaan, mengatasi rekod hampir 16 tahun milik album 35 Biggest Hits nyanyian Toby Keith.








