Kuala Terengganu: Peluang menimba ilmu secara langsung daripada atlet negeri dan kebangsaan menjadi pengalaman berharga buat pemain cilik yang menyertai Karnival Takraw & Mini-Klinik sempena Liga Takraw Nasional Mekdi di McDonald's Pandu-Lalu Batu Buruk, Sabtu lalu.hari ini.
Program anjuran bersama Harian Metro itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Kapas yang tidak melepaskan peluang mendalami sukan tradisional berkenaan.
Bermula pada jam 5 petang, klinik berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas permainan, teknik serta kemahiran penting dalam sepak takraw.
Lebih menarik, peserta berpeluang menerima tunjuk ajar secara langsung daripada dua atlet berpengalaman, iaitu Muhamad Khairul Aman Mohd Rosdi yang beraksi sebagai apit kanan dan Muhammad Afif Jazimin Zainal Abidin selaku apit kiri.








