PETALING JAYA: Institusi perbankan dan kewangan tempatan digesa meneroka pembiayaan bersandarkan harta intelek (IP) susulan kejayaan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) meluluskan dua pembiayaan pertama menerusi projek perintis yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, berkata kelulusan itu menandakan pencapaian penting dalam usaha memperluaskan akses pembiayaan kepada syarikat yang memiliki aset tidak ketara seperti inovasi, teknologi, jenama dan harta intelek.
Beliau berkata, kejayaan projek perintis berkenaan membuktikan bahawa institusi kewangan boleh meneroka pendekatan pembiayaan baharu bagi menyokong pertumbuhan perniagaan berasaskan inovasi.








