BINTULU: Pada usia 56 tahun, Ajiah Hamjah membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan akademik apabila berjaya meraih ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Hutan dan Sains Ekosistem pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 Sidang 1 di sini, hari ini.
Lebih membanggakan, penyelidikan graduan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) itu turut menghasilkan dapatan penting yang berpotensi membantu memperkukuh pengurusan hutan secara lestari di Sarawak, khususnya dalam menentukan tempoh sesuai untuk penuaian pokok.
Ajiah yang berasal dari Mukah, Sarawak dan kini menetap di Miri menjalankan kajian terhadap 4,466 pokok daripada lapan kumpulan pokok terpilih di tiga kawasan hutan, iaitu Gerenai, Mujong-Melinau dan Lambir.






