KUALA LUMPUR: Kerjasama lebih luas di antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menerusi Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) mampu membantu mendapatkan sokongan Parlimen bagi melaksanakan reformasi institusi utama, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerjasama rentas parti itu penting bagi membina konsensus Parlimen mengenai reformasi, khususnya pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Azalina berkata, perbezaan politik tidak sepatutnya menghalang ahli Parlimen daripada bekerjasama demi memastikan kestabilan negara serta memelihara kepentingan rakyat.