TAHUN ini, jerebu yang melanda negara dilihat lebih serius berbanding tahun-tahun sebelumnya. Beberapa kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat, sekali gus menjejaskan kesihatan rakyat dan membawa kesan kepada aktiviti ekonomi. Ramai yang marah dan secara sedar atau tidak, isu ini turut menjadi modal politik pihak tertentu.

Ada pihak mengambil kesempatan menggunakan masalah yang menimpa rakyat ini sebagai senjata ampuh bagi menyerang sesetengah pihak lain.

Tanggapan yang disampaikan kepada rakyat ialah sekiranya mereka berada di tampuk kuasa, maka masalah ini akan diselesaikan dengan berkesan dalam kadar masa yang cepat.

Tindakan mempolitikkan isu jerebu ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab. Tugas pemimpin politik termasuk dari parti pembangkang untuk berkhidmat bagi menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya sekadar beraksi mencari popular serta membuat kenyataan panas semata-mata untuk dilihat hebat namun tidak membawa sebarang manfaat.