KUALA LUMPUR: Laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer akan dibina di seluruh kawasan Parlimen di ibu negara dengan peruntukan RM55 juta dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, projek itu dilaksanakan menerusi perbelanjaan mengurus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan setiap kawasan Parlimen diperuntukkan laluan sepanjang dua kilometer.

“Walaupun tiada laluan pejalan kaki sedang dibina ketika ini, pelaksanaan bagi tahun depan akan bermula seawal Januari 2027,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Hannah berkata, laluan berkenaan akan melengkapkan rangkaian perhubungan di lokasi penting dalam bandar dengan menghubungkan kawasan kediaman, kemudahan awam, pusat komersial, perhentian bas, klinik kesihatan dan rumah ibadat.