ALOR GAJAH: Tempoh 14 hari berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan peluang untuk rakyat menilai prestasi kerajaan negeri, sebelum menentukan pilihan pada 14 November ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia bukan lagi masa kerajaan negeri menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya waktu untuk rakyat menghakimi segala usaha serta khidmat yang telah dilaksanakan sepanjang hampir lima tahun pentadbiran.
Menurutnya, dalam tempoh dua minggu ini, Barisan Nasional (BN) akan terus menyantuni rakyat dan menyerahkan kepada mereka untuk menilai apa yang telah dilaksanakan.
Katanya, rakyat tidak akan terpengaruh dengan pelbagai janji yang dibawa pihak lawan kerana segala komitmen kepada rakyat telah dilaksanakan.








