PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan kemudahan kuliah secara hibrid selama empat hari kepada siswa guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi membolehkan mereka pulang menyambut Deepavali bersama keluarga masing-masing.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kemudahan itu diberikan pada 9 hingga 12 November bagi Kumpulan A, manakala 10 hingga 13 November bagi Kumpulan B.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan mengambil kira hasrat siswa guru yang menuntut jauh dari kampung halaman untuk pulang meraikan perayaan itu bersama keluarga.
Menurutnya, menerusi pelaksanaan kuliah hibrid, siswa guru yang pulang ke kampung masih boleh mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian tanpa menjejaskan kelangsungan pengajian mereka.








