PROSES penamaan calon selesai, Belalang berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi medan parti politik memperkenalkan idea, bukan mengulangi politik picisan sudah lapuk.

Cukup manfaatkan tempoh berkempen dua minggu ini dengan tidak membuat serangan peribadi, sindiran tidak berasas dan memainkan sentimen 3R (kaum, agama dan institusi Diraja). Pengundi hari ini mahu mendengar penyelesaian, bukan pertengkaran.

Belalang mahu melihat calon berani berdebat mengenai isu sebenar membelenggu rakyat. Apa perancangan menangani isu dekat dengan rakyat.

Jangan sekadar berlumba menabur janji atau mengungkit kelemahan lawan. Bentangkan dasar, unjuran dan sasaran dasar mahu dibawa dan tempoh pelaksanaan boleh dinilai rakyat.