Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat untuk terus memantapkan kolaborasi strategik bersama Media Prima Berhad (MPB) dengan menyertai penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) pada masa akan datang melalui penawaran pelbagai perkhidmatan langsung kepada masyarakat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata penganjuran KJH bukan sekadar acara hiburan dan jualan, malah platform terbaik untuk PDRM mendekati masyarakat menerusi pembukaan kaunter perkhidmatan khusus serta program kesedaran keselamatan.

"Kolaborasi yang kita adakan bersama MPB ini mungkin bukan sahaja di KJH, tetapi kita berhasrat meneruskannya di mana-mana selagi khidmat kita diperlukan.

"Kita melihat ruang kerjasama ini boleh diperluaskan lagi, contohnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) boleh membuka kaunter pembayaran saman bagi memudahkan rakyat menjelaskan tunggakan dengan lebih mudah," katanya ketika ditemui di KJH Johor Bahru 2026 di Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini.