KUALA LUMPUR: Pengendali Star City FC, Mehmet Durakovic menyifatkan pasukannya tidak patut pulang tangan kosong dalam aksi Liga Super berdepan Selangor, malam tadi.
Berdasarkan persembahan yang ditampilkan sepanjang permainan, pengendali berusia 61 tahun itu menganggap mereka layak untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Namun, kegagalan melakukan penyudah yang lebih berkesan di hadapan gawang menyaksikan Star City terpaksa akur tewas 1-0 menerusi jaringan Hugo Boumous pada minit ketujuh perlawanan.
Durakovic bagaimanapun tetap bangga dengan komitmen yang diberikan barisan pemainnya sepanjang perlawanan meskipun sedar kualiti yang dimiliki pasukan Selangor.









