KUALA LUMPUR: Penyelidikan perlu dijadikan asas utama dalam penggubalan dasar dan pemantapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata ia memastikan reformasi perkhidmatan awam dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, dunia kini bergerak dalam suasana semakin kompleks dan sukar diramal susulan perubahan teknologi, persaingan ekonomi global, ancaman keselamatan siber, perubahan iklim serta ketidaktentuan geopolitik.

Menurutnya, ia memberi kesan langsung kepada cara kerajaan menggubal dasar dan menyampaikan perkhidmatan.