SHAH ALAM - Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan Madani, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa ahli Parlimen pembangkang mampu memperkukuh kestabilan politik negara dan memacu reformasi reformasi institusi.Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, perkembangan itu mencerminkan satu langkah positif ke arah kematangan demokrasi dan politik yang mengutamakan kepentingan negara mengatasi perbezaan kepartian."Saya menyambut baik pemeteraian CSA ini dan paling penting, perjanjian ini memperkukuh keyakinan terhadap kelangsungan pentadbiran negara."Khususnya dalam memastikan Belanjawan 2027 dapat diluluskan dan dilaksanakan dengan teratur bagi meneruskan agenda pembangunan ekonomi, memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Sebelum ini, kerajaan menandatangani CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu diketuai Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tujuh yang lain termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu pertemuan di Parlimen, Kuala Lumpur.Persefahaman yang dimeterai itu menjadi asas kepada kerjasama yang konstruktif, memperkukuh keyakinan terhadap proses demokrasi dan membuka ruang bagi memastikan Malaysia yang lebih baik untuk semua.Dalam pada itu, Mohammed Taufiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, persefahaman tersebut turut memberikan dorongan terhadap agenda reformasi institusi, termasuk usaha menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.Menurutnya, reformasi tersebut merupakan langkah penting untuk memperkukuh tadbir urus, integriti dan mekanisme semak dan imbang negara."Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperlihatkan keterbukaan beliau untuk berunding dan mencari titik persamaan merentasi sempadan politik."Pendekatan ini membuktikan bahawa kepimpinan yang berteraskan prinsip dan kesediaan untuk berkompromi demi kepentingan negara mampu membina kestabilan politik yang lebih kukuh."Masanya sudah tiba untuk Malaysia bergerak ke hadapan melangkaui perbezaan dan sengketa politik," katanya.