Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mahu memastikan penyertaannya dalam dua kejohanan di Australia dan New Zealand, Disember ini, bukan sekadar mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), sebaliknya turut menguji kemampuan menerusi saingan kompetitif bagi meningkatkan prestasinya.

Jelas Azizulhasni, pemilihan kejohanan perlu dilakukan secara teliti memandangkan jadual pertandingan musim ini agak padat dan memerlukan pengurusan tenaga serta beban latihan yang seimbang.

Katanya, faktor perjalanan, intensiti latihan dan kekerapan pertandingan juga perlu diambil kira bagi mengelakkan keletihan yang boleh menjejaskan prestasi di atas trek.

"Musim ini agak padat kerana banyak pertandingan berlangsung dalam tempoh yang rapat. Jadi, kita perlu memilih kejohanan dengan berhati-hati kerana tidak mahu terlebih latihan atau mengalami keletihan.