Shah Alam: Polis sedang menyiasat kes pencerobohan selepas sekumpulan individu dipercayai membawa keluar beberapa penghuni dari sebuah pusat pemulihan persendirian di Bukit Kuda, dekat sini, tanpa kebenaran pihak pengurusan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik pusat pemulihan itu pada 28 Oktober lalu memaklumkan premis itu didatangi sekumpulan lelaki dan wanita tidak dikenali sebelum membawa keluar beberapa penghuni pusat berkenaan.
"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan jenayah," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Susulan itu, Ramsay menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian berkenaan kerana boleh menggugat ketenteraman awam serta mengganggu siasatan polis.










