Georgetown: Melaka FC meneruskan momentum kecemerlangan apabila melakar kemenangan buat kali kedua berturut-turut selepas menundukkan Penang FC, 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di sini, petang tadi.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Penang tewas di tangan Melaka selepas berjaya memenangi kesemua lima perlawanan terakhir menentang skuad Hang Tuah itu dalam saingan Liga Super sebelum ini.
Terdahulu, kem tuan rumah hampir mencetak jaringan pembukaan menerusi tandukan penyerang import, Celestine Enzo hasil hantaran lintang pemain tengah, Khala'if Naskam pada masa tambahan babak pertama.
Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan pengadil, Mohamad Nawal Mohammad Zubir apabila semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Khala'if berada pada kedudukan ofsaid ketika melakukan hantaran tersebut.










