GEORGETOWN: Sepakan penalti pada minit akhir membantu Melaka FC bangkit menewaskan Penang FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, di sini, petang tadi, sekali gus meneruskan momentum kemenangan buat kali kedua berturut-turut.
Penyerang Melaka, Abdel Kader Coulibaly muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90 untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik skuad kendalian E Elavarasan.
Keputusan itu turut menamatkan dominasi Penang yang memenangi lima pertemuan terakhir menentang Melaka dalam saingan Liga Super sebelum ini.
Terdahulu, Penang hampir membuka jaringan menerusi tandukan Enzo Celestine hasil hantaran Khala'if Naskam pada masa tambahan babak pertama, namun jaringan dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Khala'if berada pada kedudukan ofsaid.








