MASJID TANAH: Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya bertumpu kepada prestasi dan tawaran dasar kepada rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bukannya menggunakan pendekatan berasaskan emosi, fitnah atau serangan peribadi terhadap pihak lawan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pendekatan kempen perlu menjurus kepada penerangan mengenai agenda yang mahu dilaksanakan kepada rakyat serta pencapaian sepanjang tempoh empat tahun pentadbiran negeri.

"Kita bertanggungjawab atas prestasi, bukan main emosi. Kita tak payah maki hamun orang, kita tak payah buat fitnah.

"Kita hanya menerangkan apa agenda yang kita nak buat kepada rakyat dan prestasi apa yang kita telah buat selama empat tahun," katanya ketika berucap pada program Ramah Mesra bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning , di Pusat Daerah Mengundi Cherana Puteh, di sini, hari ini.