SIBU: Seorang lelaki dilaporkan hilang, manakala dua lagi terselamat selepas bot dinaiki mereka terbalik akibat arus deras di sungai berhampiran Kampung Hulu Paloh, Tanjung Manis, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa yang hilang dikenali sebagai Musliman Mohammad, 28, manakala dua individu terselamat ialah pemandu bot dan seorang penumpang.
"Maklumat awal mendapati bot berkenaan terbalik akibat arus deras.
"Pemandu bot dan seorang penumpang berjaya diselamatkan penduduk kampung, manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemukan," katanya dalam kenyataan malam ini.









