Sarikei: Berang selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM), seorang lelaki bertindak merosakkan lima mesin perbankan menggunakan parang sebelum dipercayai mencederakan seorang pemuda yang cuba menghalangnya dalam kejadian di Jalan Masjid Lama, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sarikei Superintendan Aswandy Anis berkata, suspek berumur 38 tahun itu dipercayai merosakkan dua mesin ATM, dua mesin deposit tunai (CDM) dan satu mesin deposit cek di sebuah bank kira-kira 12.05 tengah malam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian akibat tidak berpuas hati selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM tersebut, selain mengaku berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.








