JOHOR BAHRU: Sambutan hangat dan kemeriahan luar biasa yang ditunjukkan warga Johor selama tiga hari ini membuktikan penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) kekal relevan, sekali gus menjadikan Johor sebagai tempat wajib dalam kalendar jelajah acara ikonik berkenaan.
Pengarah Projek KJH, Eileen Lim, berkata sambutan daripada pengunjung tidak pernah menghampakan, malah penyertaan pelbagai agensi dan pengusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga berskala lebih besar.
"Johor ialah satu lokasi yang wajib. Setiap tahun kita buat KJH di sini sebab sambutan warga Johor memang lain daripada yang lain.
"Skala penganjuran kali ini juga lebih besar apabila mempamerkan produk dan perkhidmatan daripada lebih 150 PKS serta korporat gergasi dari dalam dan luar negara," katanya.








