KUALA LUMPUR: Selangor Red Giants (SRG) meneruskan dominasi dalam saingan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia apabila muncul juara buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Team Rey 4-3 dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.
Pertembungan sengit yang berlarutan hingga permainan ketujuh itu menyaksikan SRG terpaksa mengerah segala kudrat sebelum berjaya menundukkan cabaran Team Rey untuk sekali lagi mempertahankan kejuaraan berprestij berkenaan.
Skuad kendalian Michael Angelo Bocado, yang lebih dikenali sebagai Arcadia, memulakan saingan dengan langkah kanan apabila memenangi permainan pertama, namun Team Rey segera bangkit untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi kemenangan dalam permainan kedua.








