KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (Imigresen) menawarkan pilihan tempoh sah laku 5 atau 10 tahun bagi perkhidmatan pembaharuan Pasport Malaysia melalui sistem MyOnline Passport, bermula hari ini.

Dalam kenyataan di Facebook jabatan itu semalam, inisiatif itu memberikan lebih fleksibiliti dan kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk memilih tempoh sah laku pasport mengikut keperluan masing-masing.

Ogos lalu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata jabatan itu menghentikan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun berkuat kuasa serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan yang dihadapi pemegang pasport ketika melakukan perjalanan ke luar negara.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan isu tular membabitkan beberapa pemegang Pasport Malaysia Antarabangsa yang mengalami kesulitan ketika melakukan perjalanan ke luar negara.